I made this widget at MyFlashFetish.com.

CARA MENJIMATKAN WANG




Mak Timah berbelanja di pekan lama, 
Dibawa bersama jirannya, Mak Odah, 
Mari kita jimatkan wang bersama,
Supaya kita tidak menyesal tak sudah.

Assalamualaikum pembaca setia saya. Hah! Berkaitan
pantun empat kerat di atas, apakah yang dapat anda
semua fahami? Ianya berkaitan dengan nasihat agar
anda semua menjimatkan wang dalam berbelanja. 
Terdapat pelbagai cara bagi menjimatkan wang anda.
Mari saya senaraikan cara-cara tersebut dan anda semua
juga bolehlah jadikan cara tersebut sebagai amalan.

1. Beli barang pada harga borong/pukal 
Beli barang secara pukal atau pada harga borong di Mydin, Carrefour, Tesco, Econsave, Giant atau mana-mana pasaraya bagi produk-produk seperti tisu, lampin pakai buang, alat tulis, makanan sejuk beku atau dalam tin dan sebagainya dengan lebih murah. Malah di Tesco, anda boleh dapatkan Club Card percuma yang mana boleh kumpul mata yang boleh dapat 'voucher' percuma. Lagi banyak anda beli dengan club card lagi banyak penjimatan. Jadilah pengguna yang bijak !

2. Musim Promosi & Megasale 
Biasanya di Malaysia ada MegaSale, maka pada waktu tersebut banyak tawaran yang cukup murah seperti pakaian di Sogo, Kamdar dan sebagainya. Anda boleh ambil kesempatan ini untuk membeli pakaian atau barangan pada musim promosi yang mana pada waktu lain mungkin harganya dua kali ganda. Tetapi janganlah terlalu memborong, pembaziran juga boleh berlaku.

3. Kitar Semula / Recycle 
Bagi mereka yang ada banyak koleksi kertas atau majalah lama, botol, kaca, dan aluminum boleh kitar semula di pusat kitar semula yang telah disediakan di setiap negeri. Sila rujuk web kitar semula untuk lebih lanjut, ia membolehkan anda dapat wang poket lebih di samping menjaga persekitaran yang lebih bersih. 

4. Beriadah di tempat awam 
Bagi mereka yang selalu ke gimnasium dan jadi ahli dengan membayar beberapa ratus ringgit sebulan, hal ini boleh jimatkan duit anda dengan berjogging sendiri di tempat-tempat rekreasi awam, boleh juga bersenam dalam rumah dengan bersihkan keseluruhan rumah, susun atur semula kedudukan, ataupu membuat latih tubi di beranda rumah, di tempat rekreasi pun boleh juga sebab semua fasiliti sudah ada cuma kenalah bijak menggunakannya. Di samping beriadah dan bersenam kita jaga kesihatan dan kurangkan risiko kena penyakit. 

5. Kurangkan hiburan banyakkan bacaan 
Hendak berhibur tidak salah, tapi biarlah kena pada tempatnya. Misalnya nak tengok wayang, konsert artis barat, 'clubbing' dan sebagainya tidak perlulah keterlaluan sangat.Duit tengok wayang lebih baik disimpan untuk membeli bahan bacaan yang bermanfaat seperti majalah ilmiah atau novel yang bermotivasi dan berinspirasi. 

6. Kurangkan makan di restoran makanan segera 
Macam McDonalds, KFC, Pizza hut dan sebagainya kurang elok kerana ia mengandungi pelbagai perasa, pewarna dan unsur kolestrol, lemak berlebihan. Lagipun harga dia lebih mahal dari restoran biasa, seeloknya rancang pemakanan dengan diet yang sihat di samping dapat jimat belanja. Begitu juga makan di kedai-kedai mamak seperti roti canai yang banyak kalori dan kandungan kolestrol yang tinggi. Sehubungan itu, berhati-hatilah dengan tempat makan di luar rumah. Kebanyakan hidangan makanan di luar banyak tertumpu kepada perasa dan perisa tambahan, ini tidak bagus untuk kesihatan kita. 

7. Masak & Makan di rumah 
Ini salah satu cara hendak jimat duit. Makanan yang dimasak sendiri lebih elok dimakan berbanding makan makanan di luar yang mungkin juga harganya sehingga boleh mencekik darah para pembeli. 

8. Rancang perjalanan & jimat petrol 
Sekarang ini petrol sudah mahal, jadi kenalah bijak dalam menggunakan kenderaan terutamanya kereta. Bagi mereka yang menggunakan bas perkhidmatan awam sememangnya boleh berjimat kalau hendak ke mana-mana sekalipun. Maka dengan itu, gunalah perkhidmatan awam agar minyak dan wang dapat dijimatkan.

9. Berhenti Merokok 
Bagi mereka yang merokok boleh pertimbangkan untuk berhenti. Ini kerana perbuatan merokok adalah suatu yang merugikan duit dan kesihatan. Walaupun ‘sedap’ dan ‘ketagih’ dengan rokok ia bukanlah satu tabiat yang baik kerana boleh memudaratkan diri dan juga orang lain. Jika anda berhenti merokok bermakna dengan duit rokok setiap bulan dalam lingkungan 1kotak sehari bersamaan RM150 purata sebulan. Ini bermakna berhenti merokok dapat menjimatkan wang dan menyihatkan tubuh badan.



Maka, oleh itu pelbagai cara dapat dijadikan amalan dalam menjimatkan 
wang anda. Hendak seribu daya, taknak seribu dalih yang akan 
menjadi persoalan dalam mengatasi masalah pembaziran. 
Selamat beramal!



| TERIMA KASIH DAUN KELADI |