DALAM menghadapi
kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik
mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan,
malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang
klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.
sumber dipetik daripada : Muslim In Volgograd
Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu
yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai
yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan
berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.
Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah
bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati
agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.
Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah
SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada
siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.
Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara
dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah
bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut
sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud:
“Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan
dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara
yang demikian.”
Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki
melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang
lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka
peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap
tanggungjawab sesama manusia.
Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah
SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk
membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada
wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan,
ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan
sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip
mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang
untuk menanggung kehidupan.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Maka
bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah,
bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas
kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan
bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu
membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka.” ? Riwayat Bukhari dan
Muslim.
Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat
Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan
dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah
penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika
kita bijak membuat pilihan.
Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan
umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat
menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada
agama.
Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka
diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya
ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika
punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati
apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai
suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka,
malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya
segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq
r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata,
“Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah”. Abu Bakar menjawab:
“Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali
salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya
saja.”
Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan
kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat
Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.
Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut
dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa’
ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah
saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.”