Tajuk : Amalan
Berjimat-cermat Mendatangkan Pelbagai Manfaat
Kepada Sesebuah
Negara. Huraikan Kepentingan-Kepentingan dan Langkah-Langkah Amalan
Berjimat-cermat.
Pendahuluan :
Istilah berjimat-cermat sering diuar-uarkan oleh pihak
kerajaan pada zaman muasir ini. Adakah masyarakat Malaysia tidak
tahu berjimat-cermat? Sebenarnya berjimat-cermat merupakan istilah keramat yang
memacu kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara.Tanpa amalan tersebut maka
tidak mustahilah negara akan terdedah kepada krisis ekonomi,maka mundurlah
ekonomi negara tersebut. Dalam konteks ini, semua individu dalam sebuah negara
memainkan peranan penting dalam mengamalkan amalan berjimat-cermat.Terdapat banyak
faedah yang diperoleh daripada amalan itu.
Isi 1: Persediaan
dan Jaminan Masa Hadapan.
Apakah kepentingan
amalan berjimat-cermat?
Amalan berjimat-cermat membolehkan individu merancang masa
depan mereka.
Mengapakah amalan
berjimat-cermat perlu dilakukan?
Hal ini perlu dilakukan oleh semua orang bak kata
pepatah “beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”kerana kita tidak
menduga sesuatu perkara yang akan berlakupada masa hadapan.
Bagaimanakah amalan
ini perlu dilakukan?
Golongan masyarakat terutamanya ibu bapa perlu mengamalkan
sikap berjimat-cermat terutamanya dalam aspek kewangan kerana “sedikit-sedikit
lama-lama menjadi bukit”dan “sehari selembar benang lama-lama menjadi
kain”. Hal ini akan dapat membantu mereka membiayai perbelanjaan
pendidikan anak-anak apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading. Masyarakat
terutamanya generasi muda perlu merancang perbelanjaan mereka agar tidak
berdepan dengan masalah apabila menempuh usia emas kelak. Kebanyakan warga
emas menghadapi masalah kerana mereka gagal merancang kewangan ketika usia
muda. Hal ini perlu dielakkan supaya tidak seperti pepatah “sudah
terhantuk baru tengadah”.
Contoh
Sebagai contoh, apabila anak-anak berjaya melanjutkan
pelajaran, ibu bapa akan memerlukan kos yang banyak.Sekiranya ibu bapa
mempunyai wang simpanan, mereka tidak menghadapi apa-apa masalah, sebaliknya
jika ibu bapa tidak mempunyai wang simpanan, mereka akan tertekan dengan
kemelut kewangan sekali gus akan mengharapkan biasiswa dan pinjaman daripada
pihak kerajaan.
Rumusan isi
Oleh itu, kita janganlah menjadi masyarakat yangn sentiasa
mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan dan melahirkan bangsa yang
sentiasa bertongkat. Oleh hal yang demikian, amalan berjimat-cermat ini
dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan keluarga yang bahagia kerana tidak
mengalami sebarang tekanan kewangan kerana mempunyai wang simpanan mereka
sendiri.
Isi
2 : Persediaan Menghadapi Waktu Kecemasan.
Apakah kepentingan
amalan berjimat-cermat?.
“Malang tidak
berbau”. Peribahasa ini sangat sinonim dengan fitrah kehidupan
manusia. Tiada sesiapapun yang mengetahui akan musibah yang bakal dihadapi
pada masa akan datang.Sejajar dengan itu, amalan berjimat-cermat boleh membantu
masyarakat sebagai suatu persediaan apabila menghadapi waktu kecemasan seperti
perbelanjaan merawat pembedahan, kemalangan dan penyakit kronik yang
dialami oleh diri sendiri, ibu bapa atau kaum keluarga.
Mengapakah amalan
berjimat-cermat perlu dilakukan?
Sehubungan dengan itu, melalui amalan berjimat-cermat, kita
tidak perlu “mengemis” di merata-rata tempat apabila memerlukan rawatan
kesihatan. Langkah berjimat-cermat ini sangat penting kepada masyarakat
sebagai satu persediaan jika berlaku sesuatu kecemasan kerana manusia hanya
merancang sedangkan Tuhan yang menentukan.
Bagaimanakah amalan
ini penting kepada seseorang?
Hal ini disebabkan kos rawatan yang tinggi dan biasanya
tidak mampu dibiayai oleh pesakit terutamanya apabila melibatkan pembedahan dan
penyakit kronik yang memerlukan perbelanjaan beratus-ratus ribu ringgit. Kos rawatan yang terlalu tinggi ini tentulah
membebankan pesakit tersebut.
Contoh.
Apabila seseorang dimasukkan ke hospital kerana menghidap
penyakit kronik seperti kanser, rawatan pembedahan melibatkan perbelanjaan
berjumlah beratus-ratus ribu ringgit. Kegagalan pesakit menyediakan
sejumlah wang yang besar ini boleh menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan
yang sewajarnya dan akan berakhir dengan kematian.
Rumusan isi.
Rumusannya, langkah berjimat-cermat ini sangat penting
kepada masyarakat sebagai satu persediaan menghadapi waktu kecemasan agar
rawatan segera dapat menyelamatkan nyawa pesakit.
Isi 3
: Kestabilan Ekonomi Negara.
Apakah kepentingan
amalan berjimat-cermat?
Salah satu faedah berjimat-cermat ialah ekonomi negara dapat
distabilkan.
Mengapakah amalan
berjimat-cermat perlu dilakukan?
Tanpa kestabilan ekonomi negara, sesebuah negara tidak dapat
dibangunkan atau dimajukan. Komitmen seseorang amatlah diharapkan bagi membangunkan
ekonomi Negara.
Bagaimanakah amalan
berjimat-cermat perlu dilakukan?
Seseorang itu dapat berjimat cermat dengan cara membeli
barangan buatan tempatan atau melancong dalam negara mereka
sendiri. Apabila seseorang itu membeli barangan buatan tempatan, hal ini
akan mengelakkan pengaliran wang keluar wang dan menggalakkan wang beredar
dalam negara. Jika kita membeli barangan buatan tempatan dan bukannya
barangan import, wang yang kita bayar atau belanjakan itu akan diterima oleh
pengeluar tempatan dan wang tersebut boleh mengalirdalam negara.
Contoh
Maka pendapatan yang ada, negara akan dapat membiayai
pelbagai projek yang mendatangkan keuntungan, lebih-lebih lagi ketika kegawatan
ekonomi. Negara juga tidaklah perlu memuat pinjaman kewangan dari Bank
Dunia justeru, maruah negara dapat diselamatkan. Oleh yang demikian itu,
kegiatan ekonomi tempatan dapat dihidupkan secara lebih aktif dan
efektif. Impaknya, ekonomi menjadi lebih mampan.Seseorang individu atau
masyarakat turut dapat membantu kestabilan ekonomi negara dengan mengamalkan
pelancongan domestik. Mereka digalakkan melancong dalam negara mereka
sendiri seperti peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di
negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri” Apabila hal ini berlaku, maka
secara tidak langsung mereka telah memberi sumbangan kepada pertumbuhan
ekonomi. Ekonomi negara akan menjadi lebih teguh dan mantap. Wang
yang dibelanjakan akan diterima oleh pengusaha tempatan dan hal ini bermakna
wang itu seterusnya akan beredar dalam kalangan rakyat tempatan.
Rumusan isi
Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berjimat-cermat merupakan
salah satu punca yang menyumbang ke arah kekukuhan ekonomi negara. Sejajar
dengan itu, marilah kita bersama-sama mengamalkan amalan yang terpuji itu.
Langkah-Langkah
Amalan Berjimat-cermat
Isi 4: Peranan ibu
bapa
Apakah
peranan ibu bapa untuk memupuk amalan berjimat -cermat.
Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mendidik
anak-anak mengamalkan tabiat suka berjimat-cermat,sebagaimana pepatah Melayu
ada menyebut “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”.
Mengapakah ibu bapa
perlu menunjukkan sikap berhemah ketika berbelanja?
Ibu bapa menunjukkan sikap bijak dan berhemah apabila
berbelanja dan menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak sama juga seperti
peribahasa “bapa borek anak rintik”.
Bagaimanakah ibu bapa
boleh memupuk amalan berjimat-cermat?
Antara langkah permulaan yang boleh dilakukan ialah
menggalakkan anak-anak membawa bekal makanan ke sekolah.Dalam hal ini,
anak-anak mereka bukan sahaja ditanam minat suka menabung dan berjimat-cermat
tetapi juga membawa bekalan makanan seimbang yang disediakan oleh ibu dari
segi khasiatnya malah terjamin kebersihannya. Tidak timbul lagi masalah
keracunan makanan yang sering dihadapi oleh pelajar seandainya mereka makan
makanan di kantin sekolah atau yang dibeli di luar.
Contoh
Sebenarnya, penabungan wang belanja yang diberi oleh ibu
bapa dapat digunakan untuk membeli barang keperluan yang berfaedah seperti
barangan peribadi ataupun buku-buku rujukan.Hal ini, sebagai serampang dua
mata, selain berjimat-cermat, pada masa yang sama dapat merasai air
tangan ibu dan boleh mengeratkan kasih sayang ibu dan anak.
Rumusan isi.
Kesimpulannya, membawa bekalan makanan dari rumah ini perlu
dijadikan satu budaya yang patut diamalkan oleh setiap pelajar.
Isi 5: Peranan
kerajaan dan rakyat
Apakah peranan
kerajaan dan rakyat dalam usaha menggalakkan sikap berjimat-cermat?
Salah satu langkah untuk menggalakkan sikap berjimat-cermat,
kerajaan perlu menyeru rakyat agar membuat pelaburan pendidikan untuk
anak-anak.
Mengapakah pelaburan
pendidikan ini amat berguna kepada ibu bapa dan anak-anak?
Pelaburan pendidikan ini amat berguna kerana para ibu
bapa dapat mempersiapkan diri awal-awal lagi untuk membiayai pendidikan
anak-anak agar tidak perlu berhadapan dengan masalah kewangan ketika sampai
masanya anak-anak memasuki institusi pendidikan. Janganlah nanti anak-anak
terpaksa mengalah untuk tidak menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan.
Bagaimanakah caranya
ibu bapa boleh melabur dalam skim pelaburan pendidikan?
Contoh
Pada hari ini, banyak syarikat insuran, umpamanya Malaysian
National Insurance (MNI), Malayan Alliance Assurance (MAA), Insuran
Takaful dan Takaful Nasional serta bank-bank perdagangan lain yang
menawarkan pelan pendidikan untuk meringankan beban ibu bapa bagi menampung
pembiayaan pendidikan anak-anak pada masa depan. Amalan ini sesuai dengan peribahasa
Melayu yang berbunyi “ sediakan payung sebelum hujan”.
Rumusan isi.
Sesungguhnya, kita tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan
semata-mata kerana kita perlu berusaha sendiri untuk menempa kejayaan
anak-anak. Pelaburan awal ini dapat menjamin penerusan kegemilangan generasi
cemerlang.
Isi 6: Peranan
golongan wanita
Apakah peranan
golongan wanita dalam amalan berjimat-cermat?
Kajian menunjukkan bahawa golongan wanita memainkan peranan
penting dalam mencorak perbelanjaan keluarga.
Mengapakah wanita
perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang ekonomi?
Bagi golongan wanita yang celik ekonomi,mereka akan sentiasa
peka dan mengambil berat tentang wang yang dibelanjakan.
Bagaimanakah golongan
wanita boleh menstabilkan ekonomi rumahtangga?
Oleh itu, untuk memastikan ekonomi dalam rumahtangga mereka
sentiasa stabil, wanita yang bergelar suri rumah harus bertindak dengan
bijaksana serta teliti ketika berbelanja. Suri rumah perlu mengikis sikap
terburu-buru semasa membuat pilihan kerana hal ini akan merugikan diri.
Contoh
Sebagai contoh, mungkin mereka terpaksa membeli barangan yang
tidak perlu atau tidak berkualiti hanya kerana tertarik dengan iklan-iklan
jualan murah yang “indah khabar daripada rupa”. Selain itu, sekiranya
mereka ada masa terluang, suri rumah ini juga boleh menyahut seruan kerajaan
agar berjimat-cermat melalui penanaman sayur-sayuran atau memelihara ayam itik
di belakang rumah. Kebaikannya memang ketara iaitu di samping dapat
menghidangkan sayur-sayuran yang segar untuk keluarga, mereka juga dapat
membantu suami mengurangkan perbelanjaan rumahtangga. Pada masa yang sama,
kempen yang dilancarkan oleh kerajaan agar membeli barangan buatan tempatan
perlu dimanfaatkan oleh golongan wanita. Jika selama ini mereka terlalu taksub
dengan barang-barang buatan luar negara yang kononnya berkualiti
tinggi,kini mereka boleh beralih arah dengan barang-barang buatan tempatan yang
tidak kurang hebatnya. Selain murah, barang-barang ini juga mempunyai kualiti
yang lebih baik.
Rumusan isi
Oleh itu, di samping berjimat cermat, suri rumah juga dapat
membantu menjana ekonomi negara.
Penutup
Konklusinya, amalan berjimat-cermat perlu diamalkan oleh
setiap lapisan masyarakat agar hasrat murni kerajaan untuk menggalakkan
pertumbuhan ekonomi akan tercapai.Sesungguhnya, amalan berjimat-cermat dapat
meloloskan diri daripada belenggu inflasi yang melanda negara. Secara tidak
langsung, hal ini akan melahirkan warga negara yang bijak dan berhemah dalam
mengurus ekonomi keluarga,masyarakat dan negara.Maka, sekiranya kita sayang
akan keluarga dan negara daripada dibebani kebejatan ekonomi,kita perlu
menggembleng tenaga dalam mengamalkan budaya berjimat-cermat. Akhir
kalam, “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit-sakit
dahulu, bersenang-senang kemudian”.
sumber dipetik daripada : CONTOH KARANGAN
BERJIMAT CERMAT